Showing posts with label Kemahiran Menulis. Show all posts
Showing posts with label Kemahiran Menulis. Show all posts

Intervensi Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Catatan Nota

Tulisan ini adalah sambungan daripada post sebelumnya iaitu punca-punca murid lemah mengeja.

Mengeja memerlukan seseorang mengingat dan mengetahui banyak perkataan. Sekiranya arahan membaca dan mengeja diasingkan, maka kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja serentak.

Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru sebagai langkah intervensi untuk membantu murid mengatasi masalah dalam kemahiran mengeja.

1. Kaedah Abjad
Kaedah ini sememangnya digunakan untuk mengajar murid mengeja. Murid perlu mengenal semua abjad sebelum murid berjaya mengeja sesuatu perkataan dengan baik. Contohnya : untuk mengeja "ibu", murid perlu kenal abjad "i", "b" dan "u".

2. Kaedah Fonik/Fonetik
Kaedah ini adalah berdasarkan bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain. Untuk mengeja sesuatu perkataan, murid perlu membunyikan huruf-huruf terlebih dahulu, kemudian membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contohnya: Perkataan bola dieja [b (beh) + o (o) = bo] dan l (leh) + a (a) = la]. Kedua-dua suku kata kemudian digabungkan iaitu [bo] + [la] dan ia menjadi [bola].

3. Kaedah Elektik
Kaedah elektik adalah kaedah campuran atau gabungan di antara dua pendekatan iaitu pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Beberapa kaedah digabungkan seperti kaedah bunyi, kaedah abjad dan kaedah suku kata, kaedah rangkai kata, kaedah ayat. Kaedah ini adalah mengikut prinsip psikologi membaca, maka ia dapat disesuaikan dengan kehendak dan kebolehan murid untuk membaca dalam sebarang keadaan.

Cara pengajaran

Huruf: Guru memperkenalkan huruf abjad berdasarkan bunyi huruf sahaja. Contonya, a - ayam, u - ular. Guru tidak boleh memperkenalkan nama huruf abjad. 

Suku kata:  Guru mengajar suku kata menerusi perkataan. Contohnya, ba - baju, bakul, basikal, bawang.


4. Kaedah Suku Kata
Kaedah ini dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKVK dan seterusnya. 

5. Teknik Perisian Komputer
Pembelajaran membaca merupakan aktiviti kognitif yang melibatkan pengutipan maklumat  daripada teks yang dibaca. Melalui penggunaan perisian komputer, bahan-bahan boleh dihasilkan bukan sahaja dalan bentuk teks malah dalam bentuk visual dan audio. Hubungan antara teks dengan imej sebagai elemen dalam proses membaca dapat dilihat menerusi teori dwipengkodan.

Teori dwipengkodan (Paivio, 1986) menjelaskan bahawa murid yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Dalam teknik ini, murid diberi peluang untuk membina makna teks yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual.

Namun demikian, menurut Wienstein dan Mayer (1986) serta Post dan Carreker (2002), murid tidak berupaya menghasilkan gambaran visual secara efektif jika murid tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

6. Mendengar Perakam Suara
Murid mendengar dengan teliti dan mengulangi cara mengeja yang dimainkan oleh pita rakaman.

7. Kaedah Multisensori
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada pengamatan terhadap pelbagai deria seperti deria visual, deria sentuhan, deria suara, dan gabungan semua deria. Kaedah ini membantu murid terutamanya murid yang mengalami masalah pembelajaran.

Apa itu Ejaan dan Mengeja?

Catatan Nota




Berdasarkan buku yang saya baca iaitu Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad, ia menyatakan bahawa kanak-kanak lebih cenderung membaca daripada mengeja.

Ini menunjukkan bahawa mengeja suku kata adalah lebih sukar berbanding membaca perkataan. 

Hal ini kerana ejaan adalah kaedah yang terlalu kompleks untuk dipelajari oleh kanak-kanak. 

Tambahan pula membaca hanya melibatkan proses menafsirkan kod dengan jalinan perkataan sedangkan mengeja adalah proses mengeluarkan kod dengan peka dan betul.


EJAAN DAN MENGEJA : APAKAH MAKSUDNYA?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005),
  • Ejaan ialah kaedah atau cara menulis perkataan dengan huruf.
  • Mengeja ialah perbuatan membunyikan (menulis) huruf-huruf secara berturut-turut dalam sesuatu perkataan.

CARA UNTUK MENGEJA

Terdapat dua cara untuk mengeja iaitu:
  1. Menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata atau perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu.
  2. Menulis huruf untuk membentuk suku kata atau perkataan.

CARA MENYEBUT HURUF

Terdapat dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan:

1. Menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata  dalam perkataan itu. 

Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. 
Gambaran ringkasnya ialah huruf → perkataan.

2. Menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya menyebut perkataan.  

Contohnya, “bola” dieja “b” “o”, diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf “l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut perkataan “bola”. 

Gambaran ringkasnya ialah huruf → suku kata → perkataan.


KAEDAH PENGAJARAN KEMAHIRAN MENGEJA

Terdapat beberapa kaedah pengajaran mengajar kemahiran mengeja:

1. Kaedah Abjad
Berdasarkan kaedah abjad, murid menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan abjad Rumi, cara yang kedua kerap digunakan. Hal ini kerana cara yang pertama dianggap tidak lengkap.


2. Kaedah Fonik dan Fonetik
Ia merupakan kaedah bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain.


3. Kaedah Elektik
Ia merupakan kaedah campuran yang menggabungkan pendekatan binaan dan cerakinan.


4. Kaedah Suku Kata
Pengajaran dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKK. Murid akan ditekankan dengan kemahiran membatang suku kata.


Berdasarkan pengalaman saya sebagai Guru Pemulihan Khas, murid-murid Pemulihan Khas sering mengeja sesuatu perkataan terlebih dahulu sebelum dapat menyebut perkataan tersebut. Ia seperti sudah menjadi kelaziman mereka semasa membaca. 

Pada pendapat saya, apabila murid mengeja perkataan sebelum membaca, ia bermaksud murid belum lancar membaca. 

Saya selalu menyarankan murid-murid supaya mengeja perkataan jika perlu sahaja dan menggalakkan murid menyebut perkataan tanpa perlu mengeja jika perkataan tersebut telah biasa dijumpai atau dibaca.