Minggu LINUS dan PROTIM



Minggu ini sekolah saya sibuk dengan aktiviti ujian saringan LINUS dan praujian PROTIM tahun 4, 5 dan 6. Ujian saringan khas LINUS sudah pun dijalankan dengan jayanya, cuma murid sahaja yang tidak berjaya menjawab ke semua 20 soalan dengan betul. Sekolah saya cuma ada 2 kelas sahaja. Satu kelas untuk murid-murid pandai dan satu lagi kelas sebaliknya.

Hampir separuh daripada murid-murid kelas kurang pandai gagal menjawab semua soalan dengan betul. Kebanyakkannya salah dibahagian mengisi tempat kosong dan membina 3 ayat berpandukan gambar. 

Berita gembira, 2 orang murid pemulihan berjaya menjawab ke semua soalan dengan BETUL. Saya andaikan 3 orang murid-murid saya lulus ujian saringan ini, namun salah seorang tidak hadir pula hari ini.

Saya merasa sedikit terkilan dengan beberapa aksi rakan-rakan sejawatan saya yang cuba membantu murid-murid menjawab soalan tadi. Kalau hanya nak membantu saya kira masih boleh berkompromi, tapi kalau tolong ejakan perkataan, itu bukan membantu namanya, itu sudah dikira memberikan jawapan. Mungkin rakan saya itu terlalu "takut" sekiranya murid tidak melepasi ujian saringan khas ini.

Pada saya, biarkan murid menjawab soalan mengikut kemampuan masing-masing. Sekiranya budaya spoon feed ini terus diamalkan, maka murid akan malas berfikir dan malas mencari jawapan. Mereka akan anggap peperiksaan itu sama seperti mereka membuat latihan di kelas. Semasa membuat latihan, mereka boleh meniru jawapan kawan, mereka boleh berbincang dengan kawan, mereka boleh bertanyakan guru "bayangan" jawapan atau pun guru terus memberikan jawapan (lagi parah).

Jadi apa guna kita menjalankan ujian dan peperiksaan?

Wujudkah ketelusan dan kejujuran semasa kita MENGUJI kemampuan murid-murid? Muridkah keutamaan kita atau diri kita sendiri atau peratus KPI?

Ada ketikanya kita boleh membantu, ada ketikanya kita perlu mendidik mereka belajar cara berfikir!!!




Terima Kasih