Showing posts with label PdPc. Show all posts
Showing posts with label PdPc. Show all posts

Menulis Imlak Sebagai Aktiviti PdPc Untuk Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Aktiviti LARI & TULIS (Running Dictation)  

Salam semua.

Untuk meningkatkan kemahiran mengeja murid-murid pemulihan, antara aktiviti yang sering saya jalankan adalah menulis imlak perkataan dan ayat

Saya akan sebut perkataan dan ayat, kemudian murid akan menulis imlak di papan putih, kertas kosong, 'sticky notes', buku poket atau buku latihan. 

Saya akan jalankan aktiviti ini dalam kumpulan kecil atau berpasangan dalam bentuk permainan, pertandingan antara kumpulan yang juga merupakan sebahagian aktiviti didik hibur selain dapat memupuk budaya bersaing secara sihat. 

Selepas itu saya akan adakan kuiz ejaan secara individu. 

Murid seronok belajar dan lebih mudah mengingat ejaan perkataan yang dipelajari.


Contoh aktiviti mengimlak perkataan yang disebut rakan.


Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan imlak sebagai perbuatan menyebut perkataan (ayat dan lain-lain) supaya ditulis oleh orang lain atau sesuatu yang dikatakan atau dibaca supaya ditulis oleh orang lain. 

Makna yang setara dengan imlak dalam Bahasa Inggeris adalah dictation

Aktiviti mengimlak akan lebih berkesan jika ia dijalankan secara berpusatkan murid iaitu murid adalah pengimlak (Dictator)

Aktiviti mengimlak ini berkesan kerana beberapa sebab iaitu:
  1. Boleh dilakukan untuk semua tahap penguasaan murid, bergantung kepada teks yang digunakan. Murid boleh mengimlak perkataan, frasa, ayat atau pun petikan cerita.
  2. Boleh dipelbagaikan aras untuk kelas yang mempunyai murid pelbagai aras kecerdasan. Contohnya, murid lemah diberikan kertas yang mengandungi separuh jawapan (isi tempat kosong) manakala murid normal diberikan kertas kosong.
  3. Persiapan bahan yang sedikit.
  4. Boleh meningkatkan 4 kemahiran secara serentak iaitu membaca, mendengar, mengeja dan menulis.

Cadangan Aktiviti Mengimlak (Berpusatkan Murid)

Aktiviti 1

Sediakan teks ayat yang telah dipotong dan beri satu baris kepada setiap murid. Mereka perlu bergilir-gilir mengimlak ayat sementara murid yang lain mendengar dan menulisnya ke dalam buku atau kertas. Kemudian berikan murid teks penuh untuk dibandingkan dengan jawapan mereka.


Aktiviti 2

Bahagikan kelas kepada pasangan. Murid memilih ‘runner’ dan ‘writer’. Tampal teks yang hendak diimlak ke dinding kelas. ‘Runner’ perlu pergi kepada teks dan menghafal baris pertama kemudian kembali kepada pasangan atau pun ‘writer’. ‘Runner’ pergi kepada teks dan berpatah balik kepada pasangan sehinggalah semua teks telah diimlak. Peranan ‘runner’ dan ‘writer’ boleh ditukar apabila separuh teks telah diimlak. Teks yang telah selesai diimlak kemudian disemak berpandukan teks penuh. Aktiviti ini sebaiknya menggunakan teks pendek sahaja.


Aktiviti 3

Guru menjadi pengimlak tetapi murid dibenarkan mengawal kelajuan perkataan atau ayat yang disebut guru. Guru juga perlu melakukan pengulangan beberapa kali. Dalam aktiviti ini guru berlakon sebagai ‘tape recorder’. Murid boleh ‘Stop’, ‘Rewind’, ‘Play’, ‘Decrease speed’ dan sebagainya.


Contoh teks imlak untuk murid lemah atau pemulihan


Running Dictation - murid bersedia bersama pasangan masing-masing.
Masa diberikan tidak melebihi 5 minit. (Sumber: google)


Sumber:

Aktiviti MEMBACA LANTANG dapat meningkatkan motivasi kanak-kanak untuk menguasai kemahiran membaca

Sekiranya guru ingin menjadikan proses pengajaran membaca sebagai landasan menanamkan tabiat gemar membaca, guru perlulah membaca secara lantang kepada anak-anak murid setiap hari dengan sekurang-kurangnya satu tajuk bahan kesusasteraan. 

Aktiviti membaca lantang/ membaca kuat (read aloud) bukan satu pengajaran pemahaman bacaan tetapi lebih kepada aktiviti atau sesi tambahan untuk meningkatkan motivasi kanak-kanak terhadap pengajaran literasi.

Aktiviti membaca lantang

Apa itu bacaan lantang?
  • Bacaan daripada pihak guru kepada kanak-kanak yang belum boleh membaca
  • Kanak-kanak menjadi pendengar dan respon kepada bacaan guru
  • Sesuai dijalankan kepada kanak-kanak yang belum boleh membaca
  • Apa yang guru baca dengan kanak-kanak perlu dirancang terlebih dahulu
  • Teks yang dibaca itu tidak semestinya kanak-kanak tahu dan faham
  • Guru berinteraksi dengan kanak-kanak

Bilakah bacaan lantang boleh dilakukan?
  • Permulaan kelas atau di akhir pembelajaran sekolah selama 5-10 minit
  • Sementara menunggu aktiviti lain
  • Sebagai aktiviti tambahan /aktiviti sampingan 

Apakah kepentingan membaca lantang?
  1. Memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak
  2. Meningkatkan asas kosa kata/perbendaharaan kata
  3. Meningkatkan daya ingatan dan kemahiran membaca
  4. Mendapatkan maklumat mengenai dunia sekeliling mereka
  5. Meningkatkan motivasi kanak-kanak terhadap pengajaran literasi

Bagaimana pelaksanaannya?

SEBELUM
  • Cari buku yang sesuai dengan kefahaman kanak-kanak
  • Pastikan guru faham jalan cerita yang hendak dibaca
SEMASA
  • Duduk, ambil sekumpulan kanak-kanak (jangan terlampau ramai)
  • Pegang buku ke hadapan

Buku dipegang ke hadapan kanak-kanak

  • Mulakan suara dengan kuat
  • Pastikan murid-murid diam
  • Baca dengan ekspresi muka dan bersungguh-sungguh
  • Tukar nada suara dengan setiap watak yang berbeza

SELEPAS
  • Sesi soal jawab seperti kefahaman jalan cerita - kenapa dan bagaimana jalan cerita tersebut terjadi
  • Ulang balik cerita atau ceritakan semula secara sekali imbas


Sumber rujukan
  1. http://kidsloveus.blogspot.com/2012/02/bacaan-lantang-untuk-kanak-kanak.html
  2. Pendidikan Literasi Awal Kanak-Kanak Teori dan Amali, Mahzan Arshad, Penerbit UPSI, 2012

Buku rujukan

[DOWNLOAD] RPT Bahasa Melayu Pemulihan Khas Terkini (Kemaskini)

Assalamualaikum/Selamat sejahtera.

RPT BM Pemulihan Khas ini telah saya murnikan mengikut Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas yang diterbitkan khas oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 2012.

Kemaskini: 


Ketetapan format sesuatu RPT adalah bergantung kepada ketetapan KPM/JPN/PPD/Sekolah (Panitia) masing-masing. 

Saya mendapat maklumat bahawa Guru Pemulihan Khas tidak perlu menyediakan RPT, namun saya secara peribadi memilih untuk menyediakan RPT bagi memudahkan saya menyediakan RPH. Namun RPT yang saya sediakan diubahsuai sesuai dengan kemahiran yang dipelajari dan pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/1999, setiap guru perlu menyediakan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang terdiri daripada 2 perkara berikut:

1. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT)
2. Rancangan Pelajaran Harian (RPH)



MUAT TURUN (Download)


1. RPT BM Pemulihan Khas Terkini (Klik - request edit access)

[DOWNLOAD] Buku Panduan Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Melayu Pemulihan Khas 2012

Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas ini telah diterbitkan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2012 untuk kegunaan guru-guru Pemulihan Khas.

Buku ini sebenarnya boleh diolah menjadi Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas kerana ia mengandungi objektif PdP, aktiviti yang boleh dijalankan semasa PdP dan senarai bahan yang digunakan.

Sebelum ini saya ada menulis tentang RPT BM Pemulihan Khas dan telah berkongsi soft copy RPT tersebut dengan guru-guru lain. Namun saya dapati apabila ia dibandingkan dengan Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012, RPT yang saya kongsikan itu tidak lengkap kerana tidak mempunyai objektif PdP. Malah Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012 adalah lebih tepat dan terkini kerana terdapat tambahan kemahiran prabacaan dan pratulisan. PdP juga dimulakan dengan pengenalan kepada huruf-huruf vokal.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus, namun saya menyediakan RPT untuk memudahkan saya menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


 

[DOWNLOAD] Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas



Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas ini telah saya selaraskan mengikut takwim tahunan sekolah saya. Ia hanya sekadar rujukan peribadi saya sahaja. Saya kongsikan  RPT ini di sini semoga ia dapat membantu rakan-rakan guru yang lain yang memerlukan.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus kerana murid mengikuti program Pemulihan Khas mengikut kemahiran yang belum dikuasai selepas ujian saringan dan ujian diagnostik dijalankan. Namun pada pandangan peribadi saya, saya lebih suka menyediakan RPT yang diubahsuai dengan menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


Didik Hibur atau Fun Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Salam sejahtera.

Bercerita merupakan contoh aktiviti didik hibur.

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi PdP.

Nota Kaki: Singkatan bagi Pengajaran dan Pembelajaran; P&P/PnP kini telah digantikan dengan PdP (Sebut P, d, P).

Definisi


Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur.

Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Pengenalan Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Latar Belakang Didik Hibur


Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.

Ciri-Ciri Didik Hibur


Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur: Guru


Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel

Aktiviti Didik Hibur


Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:

( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.

Penutup


Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran

Rujukan dan kredit:
1. Portal KSSR, Dr. Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar

Kaedah Mengatasi Masalah Tidak Lancar Membaca Murid-Murid Pemulihan Khas

Antara kaedah pengajaran yang boleh digunakan guru Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah murid-murid Pemulihan Khas yang belum membaca dengan lancar:
  • Guru menunjukkan kad bergambar.
  • Semua murid menyebut nama benda yang dilihat.
  • Guru menunjukkan dan membaca kad-kad perkataan.
  • Murid akan mengikut sebutan dan bacaan guru.
  • Murid memadankan kad-kad perkataan dengan gambar.
  • Semua murid akan membaca kad-kad perkataan beberapa kali dengan bimbingan guru.
  • Kemudian, murid-murid akan membaca tanpa dibimbing.
  • Setelah mahir dalam bacaan, setiap murid akan mula menulis ayat pada buku.

Sumber rujukan: