Showing posts with label LINUS. Show all posts
Showing posts with label LINUS. Show all posts

[DOWNLOAD] Pekeliling Guru Pemulihan Di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS
















Klik di bawah untuk muat turun pekeliling

Antara isi kandungan Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 24 Tahun 2012 bertarikh 3 Julai 2012 (Guru Pemulihan Di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS)

1) Makmal NKRA Pendidikan telah mencadangkan supaya dibuat penambahbaikan terhadap nisbah guru pemulihan di sekolah-sekolah, daripada seorang guru pemulihan di setiap sekolah kepada guru pemulihan  bagi 15 orang murid yang tidak menguasai asas literasi dan numerasi. Dalam hal ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Januari 2012 telah bersetuju supaya semua cadangan Makmal NKRA Pendidikan dilaksanakan. 

2) Murid tahap 1 yang tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang tidak melepasi konstruk 12 bagi literasi dan numerasi.

3) Murid tahap 2 yang tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang masih tidak boleh membaca, menulis dan mengira berdasarkan ketetapan yang diguna pakai sebelum LINUS dilaksanakan.

4) Penempatan guru pemulihan di semua sekolah adalah menggunakan nisbah seorang guru pemulihan kepada 15 orang murid yang masih tidak menguasai literasi atau numerasi termasuk murid tahap 2 (sekiranya ada).

5) Sekiranya sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi kurang daripada 15 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan sahaja.

6) Jika sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi melebihi 15 orang tetapi kurang 30 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan. Namun sekiranya genap 30 orang murid, maka sekolah tersebut layak menerima 2 orang guru pemulihan.

7) Semua JPN, PPD dan sekolah hendaklah memastikan bahawa semua guru yang dilantik sebagai guru pemulihan mempunyai opsyen pemulihan atau sekurang-kurangnya telah mengikuti latihan untuk mengajar kelas pemulihan.

8) Dengan berkuatkuasanya surat siaran ini, maka surat siaran KPM.BPKHAS.300-2/212 bertarikh 4 Ogos 2010, Peranan Guru Pemulihan Khas Dalam Pelaksanaan Program LINUS adalah terbatal. 



Sudut Pandang Muhyiddin Yassin [Buku]


Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku bertajuk Sudut Pandang Muhyiddin Yassin yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Agak menarik juga kerana ia dihasilkan menerusi wawancara dan dipersembahkan dalam bentuk soal jawab untuk memudahkan pembaca memahami isu berkaitan sistem pendidikan yang dibangkitkan dalam masyarakat dan cara kerajaan menanganinya.

Menerusi buku ini YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi jawapan serta pandangan ilmiah berkaitan dasar dan usaha kerajaan untuk membawa rakyat dan negara ke arah pembentukan negara maju menjelang tahun 2020, dengan asasnya dimulakan melalui Transformasi Pendidikan Negara.

✅Buku ini dijual pada harga RM40.00
✅285 halaman bercetak

Sinopsis Buku


Buku ini memaparkan 14 perkara dasar membabitkan transformasi dunia pendidikan di bawah teraju YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin sejak dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia bermula April 2009. Panas dengan isu, hangat dengan kontroversi, padat dengan pandangan dan sarat dengan harapan, buku ini menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, pertikaian yang dilempar, kekeliruan yang mengaburi matlamat dan permasalahan yang hakikatnya sudah lama selesai. Pendek kata, buku ini adalah air kepada api, memadam segala ketidakpastian, sekali gus membina akar baru untuk sama-sama menjadi tunjang menyumbang kepada Negara.

Kandungan Buku

  1. Pendidikan Prasekolah
  2. Program Literasi dan Numerasi
  3. Tawaran Baru (Bai'ah)
  4. Sekolah Berprestasi Tinggi
  5. Sekolah Amanah
  6. Dasar 1Murid 1Sukan
  7. Sejarah Subjek Wajib Lulus SPM
  8. Penetapan Had 10 Mata Pelajaran dalam SPM
  9. Transformasi Pendidikan Vokasional
  10. Isu Novel Interlok
  11. Pemansuhan PPSMI dan Dasar MBMMBI
  12. Memartabat Bahasa Melayu
  13. Memantapkan Profesion Perguruan
  14. Penilaian Menyeluruh Sistem Pendidikan Negara 

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI (LINUS)


Di sini saya paparkan sebahagian dari wawancara YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program LINUS.


📌Boleh dijelaskan serba sedikit mengenai Program LINUS Tan Sri?

Ia adalah satu program PEMULIHAN yang dilaksanakan bermula tahun 2010 untuk murid-murid normal yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Matlamat LINUS adalah untuk memastikan murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi selepas tempoh 3 tahun pendidikan peringkat rendah, sekaligus membolehkan pembelajaran tahun 4 diteruskan tanpa banyak kekangan.

📌Apakah ada sasaran khusus ditetapkan sebagai perlu dicapai pada setiap tahun?

Bagi kemahiran Literasi:

Tahun 1 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 500 perkataan dan ayat mudah.

Tahun 2 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 800 perkataan serta ayat mudah  menggunakan kata sendi "dan".

Tahun 3 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 1000 perkataan serta ayat mudah dengan kata sendi "dan" dalam satu perenggan.

📌Tidakkah sebelum ini telah ada beberapa program lain yang hampir sama seperti LINUS? Apakah rasionalnya Tan Sri? 

Memang telah banyak usaha dibuat bagi memperbaiki kemahiran murid dalam aspek 3M tapi sehingga kini, ia masih juga belum dapat diatasi sepenuhnya. Justeru itulah maka kerajaan berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan sejak awal dan seterusnya dipulihkan seawal tahap 1.

Mahu tidak mahu, suka tidak suka, perkara ini memerlukan perhatian dan komitmen yang amat serius. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M memang kita tahu akan berhadapan dengan risiko keciciran, sekaligus juga sukar memenuhi keperluan untuk melanjutkan pelajaran dan akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik.

Program-program pemulihan sebelum ini tidak gagal tetapi masih belum dapat memenuhi kehendak NKRA yang ditetapkan. Program LINUS ini boleh disifatkan sebagai usaha pemurniaan semula.

 ðŸ“ŒApa impak jangka panjangnya jika Program LINUS ini juga kelak tidak berjaya?

Kesannya tidak akan memberi sebarang impak kepada guru, tetapi sebaliknya akan ditanggung oleh murid, terutama bila masuk ke tahun 4. Ini kerana sesi pembelajaran pada tahun 4 mengetengahkan mata pelajaran yang lebih mencabar. Apabila murid tiada kemahiran asas dan tidak cukup bersedia, mereka akan ketinggalan dan cenderung terdedah kepada pelbagai kesan negatif.

Murid yang tidak menguasai 3M akan mengalami situasi tidak minat belajar, kurang bijak menguruskan diri dan akhirnya mereka akan terpinggir terutama apabila pihak guru sendiri mula putus asa untuk membantu mereka.

📌Bagaimana sebenarnya murid yang tidak menguasai 3M ini boleh dibantu Tan Sri?

Hal ini boleh diurus jika ada kesungguhan dan komitmen serius daripada guru besar. Ini kerana mereka berperanan besar mengelakkan pengurusan sekolah bersikap lepas tangan terhadap murid-murid yang agak ketinggalan. Dalam hal ini, guru besar berperanan memastikan komitmen guru dipertingkat kerana kita semua perlu lebih prihatin membantu murid-murid tersebut. Saya yakin, jika guru besar proaktif, guru-gurunya pasti akan memberikan sokongan kuat untuk menjayakan matlamat LINUS.

 ðŸ“ŒSejauh mana seriusnya masalah tiada kemahiran 3M ini Tan Sri?

Bayangkan...pada tahun 2008 sahaja, 13% atau 54,000 murid tahun 1 dikenal pasti tidak boleh membaca dan menulis.

 ðŸ“ŒApakah struktur kelas berubah menerusi pelaksanaan LINUS?

Terdapat 3 model utama sebagai panduan untuk memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan program ini secara lebih berkesan mengikut kesesuain sekolah, guru dan murid masing-masing.

Model pertama, jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru LINUS. Model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan boleh diubah jadual waktu harian mereka bagi subjek BM dan Matematik supaya kedua-duanya dapat dipecahkan antara kelas perdana dan kelas LINUS. Model ketiga, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga, murid arus perdana, Bahasa Melayu LINUS dan Matematik LINUS.


Minggu LINUS dan PROTIM


Minggu ini sekolah saya sibuk dengan aktiviti ujian saringan LINUS dan praujian PROTIM tahun 4, 5 dan 6. Ujian saringan khas LINUS sudah pun dijalankan dengan jayanya, cuma murid sahaja yang tidak berjaya menjawab ke semua 20 soalan dengan betul. Sekolah saya cuma ada 2 kelas sahaja. Satu kelas untuk murid-murid pandai dan satu lagi kelas sebaliknya.

Hampir separuh daripada murid-murid kelas kurang pandai gagal menjawab semua soalan dengan betul. Kebanyakkannya salah dibahagian mengisi tempat kosong dan membina 3 ayat berpandukan gambar.

Berita gembira, 2 orang murid pemulihan berjaya menjawab ke semua soalan dengan BETUL. Saya andaikan 3 orang murid-murid saya lulus ujian saringan ini, namun salah seorang tidak hadir pula hari ini.

Saya merasa sedikit terkilan dengan beberapa aksi rakan-rakan sejawatan saya yang cuba membantu murid-murid menjawab soalan tadi. Kalau hanya nak membantu saya kira masih boleh berkompromi, tapi kalau tolong ejakan perkataan, itu bukan membantu namanya, itu sudah dikira memberikan jawapan. Mungkin rakan saya itu terlalu "takut" sekiranya murid tidak melepasi ujian saringan khas ini.

Pada saya, biarkan murid menjawab soalan mengikut kemampuan masing-masing. Sekiranya budaya spoon feed ini terus diamalkan, maka murid akan malas berfikir dan malas mencari jawapan. Mereka akan anggap peperiksaan itu sama seperti mereka membuat latihan di kelas. Semasa membuat latihan, mereka boleh meniru jawapan kawan, mereka boleh berbincang dengan kawan, mereka boleh bertanyakan guru "bayangan" jawapan atau pun guru terus memberikan jawapan (lagi parah).

Jadi apa guna kita menjalankan ujian dan peperiksaan?

Wujudkah ketelusan dan kejujuran semasa kita MENGUJI kemampuan murid-murid? Muridkah keutamaan kita atau diri kita sendiri atau peratus KPI?

Ada ketikanya kita boleh membantu, ada ketikanya kita perlu mendidik mereka belajar cara berfikir!!!


Saringan Khas LINUS Kohort 1 dan 2 Tahun 2012

Berikut adalah beberapa maklumat mengenai Saringan Khas LINUS bagi murid-murid tahun 2 dan 3. 

Maklumat ini saya perolehi di http://linushilirperak.blogspot.com/

Saringan Khas perlu dijalankan untuk memastikan murid-murid Tahun 2 dan 3 menguasai 3M dan sebagai persediaan murid ke Tahun 3 dan 4 pada 2013.
 
Saringan Khas merupakan verifikasi untuk murid-murid Aliran Perdana (menguasai hingga Konstruk 12-Membina ayat mudah).
 
Jawatankuasa PEMANDU NKRA , telah mengeluarkan arahan agar murid-murid tahun 2 dan 3 dijalankan Saringan Khas.
 
Di dalam Saringan Khas, tidak ada Konstruk 1,2, dan 4. Ada elemen membaca, menulis, mengira dan memahami. Masa 30 minit diperuntukkan, untuk melihat penguasaan dan bukan pencapaian.
Saringan Khas akan melibatkan murid-murid Tahun 2 dan Tahun 3.
 
Guru Bahasa Melayu dan guru Matematik Tahun 3 boleh membuat 'Pre-Test' berdasarkan Instrumen Rintis Saringan Khas. Lihat Menu Muat Turun Linus dan Klik Maklumat Saringan Khas Tahun 3.
 
Semasa Saringan Khas sebenar dijalankan, tiada bimbingan dan bantuan boleh diberikan kepada murid kerana ia berbeza dengan Saringan Linus biasa.