Showing posts with label Bajet 2017. Show all posts
Showing posts with label Bajet 2017. Show all posts

Ringkasan Bajet 2017


Intipati (isi) Bajet 2017 yang telah dibentangkan oleh PM pada 14 Oktober 2016:

1) Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion, 3.4% lebih tinggi daripada Bajet 2016 sebelum ini.
2) Kerajaan menjangka untuk mencapai 3% defisit fiskal pada tahun 2017.
3) Hanya 2.1 juta pembayar cukai pendapatan daripada 14.6 juta jumlah tenaga kerja negara.
4) Tiada kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk 2017.


PENJAWAT AWAM:

1) Untuk memanjangkan tempoh “Fully-Paid Study Leave” dengan biasiswa kepada Kumpulan Sokongan (Support Group), yang pada masa ini terhad kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Dengan kata lain Cuti belajar dengan gaji penuh dan biasiswa juga diberi kepada kumpulan pelaksana.

2) Cuti kuarantin sehingga 5 hari tanpa rekod untuk penjawat awam yang mempunyai anak yang sakit dan perlu dikuarantinkan.

3) Kemudahan pinjaman komputer yang dilanjutkan bagi pembelian smartphone. Penjawat awam boleh gunakan ini sekali setiap 3 tahun, dan terhad kepada pembelian sebanyak RM5,000.

4) Peningkatan had pinjaman motosikal untuk penjawat awam, daripada RM5,000 kepada RM10,000.

5) Meningkatkan pinjaman perumahan kakitangan awam kepada RM200,000 dan RM750,00, daripada RM120,000 dan RM600,000.

6) Menyiapkan 30,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). Ia akan dijual pada harga RM90,000 hingga RM300,000, iaitu 20% di bawah harga pasaran.

7) Melanjutkan kontrak perkhidmatan dan kontrak bagi pegawai-pegawai perkhidmatan yang tamat pada akhir tahun ini, kepada sekurang-kurangnya untuk tempoh 1 tahun lagi.

8) Bagi menangani isu doktor pakar berhenti daripada kerja di hospital Kerajaan dan kelewatan naik pangkat, Gred 56 diperkenalkan di antara Gred 54 dan JUSA C untuk pakar-pakar perubatan dan pergigian.

9) Untuk melantik kumpulan pertama doktor, doktor gigi, dan ahli farmasi dengan kontrak terbaru sebelum Disember 2016, disebabkan oleh kekangan dalam jawatan tetap. Dalam erti kata lain, hampir 2,600 daktor tanpa pengalaman “housmanship” dibenarkan bekerja di hospital Kerajaan berdasarkan kontrak.

10) Bonus tiada, bagaimanapun Kerajaan memberikan bayaran khas sebanyak RM500 untuk penjawat awam serta pesara kerajaan sebanyak RM250 dan akan dibayar pada awal Januari 2017.




SEKTOR PERUMAHAN (pembeli rumah pertama):

1) Menyediakan tanah kosong Kerajaan di lokasi-lokasi strategik untuk GLC dan PR1MA untuk membina lebih daripada 30,000 rumah dengan harga jualan, atau RM150,000 kepada RM300,000.

2) Untuk membina sekitar 10,000 buah rumah di kawasan bandar untuk disewa kepada belia yang layak dengan pekerjaan, tetap termasuk graduan muda yang memasuki pasaran buruh.

3) Untuk membina 5,000 unit Rumah Mesra Rakyat, dengan Kerajaan memberi subsidi sehingga RM20,000 seunit. RM200 juta akan diperuntukkan kepada SPNB.

4) Skim baru khas “penambahan” pembiayaan akhir (end financing) untuk program PR1MA, di mana 12,000 unit bernilai RM3 bilion telah ditempah.

5) Pembiayaan akan menjadi lebih mudah untuk pembeli dengan jumlah pinjaman sehingga 90% kepada 100%, dengan kadar penolakan pinjaman akan dikurangkan secara drastik.

Sebagai contoh, pemohon yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,000, kini layak untuk meminjam lebih daripada RM187,000, akan dapat pinjaman sebanyak RM295,000.

6) Pengecualian duti setem akan ditingkatkan kepada 100% ke atas instrumen pemindahan dan pinjaman perumahan (instruments of transfer and housing loan instruments), untuk membantu kurangkan kos pemilikan rumah pertama. Pengecualian ini adalah terhad kepada rumah dengan nilai sehingga RM300,000 untuk pembeli rumah pertama untuk tempoh 1 Jan 2017 ini hingga 31 Disember 2018.

7) Rumah Generasi Ke-2 pembangunan infrastruktur, sejumlah RM200 juta diperuntukkan kepada Felda, RM100 juta untuk Felcra, dan RM100 juta untuk Risda.

PELEPASAN CUKAI/ REBAT :

1) Pelepasan cukai individu untuk pembelian bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan digabungkan sebagai pelepasan cukai gaya hidup. Ini diperluaskan meliputi pembelian akhbar arus perdana, smartphone & tablet, langganan internet serta bayaran keahlian gimnasium. Pelepasan ini diberi sehingga RM2,500 setiap tahun, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2017.

2) Untuk memberikan sokongan kepada wanita bekerjaya untuk menyusukan anak mereka, kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai sehingga berjumlah RM1,000 bagi pembelian peralatan berkaitan penyusuan.

3) Pelepasan cukai sehingga RM1,000 diperkenalkan kepada pembayar cukai yang menghantar anak mereka yang berumur enam tahun ke bawah ke nurseri dan tadika yang berdaftar.

JALUR LEBAR/ INTERNET :

1) Kerajaan akan melancarkan satu inisiatif untuk perkhidmatan jalur lebar Ethernet di universiti awam, yang akan dinaikkan kepada maksimum atau 100GB sesaat. 

2) SKMM akan menyediakan RM1 bilion untuk memastikan liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara mencecah sehingga 20MB sesaat.

PENDIDIKAN :

1) Menyediakan Program Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar yang berada dalam kelompok isi rumah yang berpendapatan sehingga RM3,000, yang dijangkakan akan diterima seramai 3.5 juta pelajar.

2) RM1.1 bilion diperuntukkan bagi Program Bantuan Makanan Asrama kepada 365,000 pelajar.

3) RM300 juta bagi Program Bantuan Makanan Tambahan bagi pelajar sekolah rendah.

4) RM1.1 bilion diperuntukkan sebagai bantuan tambahan bagi membayar yuran sekolah, bantuan buku teks dan bantuan geran per kapita.

5) Kerajaan akan menyediakan geran sehingga RM50 bagi simpanan yang terkumpul dalam SSPN-I bagi pelajar darjah satu di sekolah kebangsaan dan setara.

6) Baucar buku akan digantikan dengan kad debit pelajar berjumlah RM250 yang boleh digunakan untuk membeli buku, alat tulis, peralatan komputer dan juga akses internet.

7) Kerajaan akan memperkembangkan program pra-sekolah ke 50 buah sekolah dengan peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi sekolah Tamil.
8) RM85 juta diperuntukkan kepada Permata.

9) 430 ribu pendidik, menerusi SKMM RM340 juta diperuntukkan tablet bantuan mengajar bagi memudahkan tugasan.

10) Bangunkan semula 120 sekolah daif, 60 di semenanjung, 30 di Sabah & 30 di Sarawak menggunakan IBS & menaiktaraf 1800 makmal sains.

11) Memperluas program penguasaan B. Inggeris melalui Cambridge English, Dual Language & Highly Immersive dengan peruntukan RM90 juta.

12) RM600 juta diperuntukkan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

BANTUAN BR1M :

1) Bagi isi rumah di dalam pengkalan data e-Kasih dengan pendapatan bulanan bawah RM3,000, ia akan ditingkatkan kepada RM1,200, daripada RM1,050 dan RM1,000.

2) Untuk isi rumah yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, ia akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM900.

3) Bagi individu bujang berpendapatan bawah RM2,000, ia akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

4) Skim Khairat Kematian diteruskan dengan pampasan RM1,000, yang akan diberikan kepada waris penerima BR1M dan orang yang tergolong dalam kategori warga tua.

GOLONGAN B40 (Penjanaan pendapatan) :

1) Memperluaskan MySuria Prog di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM45 juta. Panel solar akan dipasang di lebih 1,600 buah rumah.

2) Memperluas Program Mobileprenuer oleh Giatmara, dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, menyasarkan 3,000 peserta menggunakan motosikal.

3) Pengenalan program usahawan dalam sektor pertanian untuk melahirkan 3,000 usahawan muda dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

4) Menghidupkan semula program eUsahawan dan eRezeki di bawah MDEC, yang terdiri daripada 300,000 peserta dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

5) RM10 bilion diperuntukkan untuk subsidi, yang terdiri daripada subsidi bahan api termasuk untuk gas memasak, tol, pengangkutan awam dan pelbagai insentif lain.

6) Untuk membantu petani, Kerajaan akan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk memberi subsidi harga, benih, dan baja termasuk padi bukit.

7) Sebagai insentif kepada pekebun getah kecil-kecilan yang berdaftar, Kerajaan akan memperuntukkan RM250 juta untuk pengeluaran getah.

8) Kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Musim Hujan dengan jumlah sebanyak RM250 setiap bulan selama tempoh 3 bulan pada bulan November, Disember, dan Januari.

9) Elaun kos hidup bulanan untuk para nelayan sebanyak RM200, dinaikkan kepada RM300. Ini akan beri manfaat kepada 57,000 nelayan di negara ini.

10) RM300 juta kepada TEKUN, bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan, termasuk skim baru TEMANITA, khusus untnk usahawan mikro wanita.

PTPTN :

1) 15% diskaun jumlah keseluruhan hutang untuk hutang yang dibayar penuh.

2) 10% diskaun jumlah keseluruhan hutang untuk pembayaran sekurangnya 50% daripada jumlah penuh hutang dibuat dalam satu pembayaran.

3) 10% diskaun bagi pembayaran melalui potongan gaji atau secara “direct debit” mengikut jadual pembayaran yang ditentukan.

4) Diskaun berikut akan berkuatkuasa secara efektif bermula Sabtu, 22 Oktober 2016 sehingga Disember 2017.

PENGANGKUTAN AWAM/ INFRASTRUKTUR:

1) Pembinaan East Coast Rail Line yang dijangkakan akan menelan kos sebanyak RM55 bilion.

2) Mempercepatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

3) Sebanyak RM100 bilion diperuntukkan bagi membaikpulih landasan keretapi Pantai Timur di Gua Musang-Tumpat yang musnah akibat banjir.


KESEJAHTERAAN RAKYAT :

1) RM20 juta akan diperuntukkan kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia untuk memberikan bantuan pinjaman kepada komuniti penjaja.

2) Diantara usaha kerajaan untuk memperkasakan golongan Bumiputera adalah dengan memperuntukkan RM100 juta kepada SME Bank untuk meningkatkan peluang bagi usahawan Bumiputera. RM300 juta juga akan diberikan kepada Tekun untuk membantu industri kecil dan sederhana melalui skim baharu yang diperkenalkan di bawah nama Temanita.

3) JAKIM menaikkan elaun bulanan 15,000 Iman di seluruh negara daripada RM750 ke RM850. Insentif lain seperti pembayaran RM500 kepada 16,000 orang bilal dan siak yang menguruskan masjid. Elaun guru KAFA juga dinaikkan daripada RM800 ke RM900 sebulan.


Sumber :