RPT dan Dilema Seorang Guru Pemulihan Khas

RPT atau Rancangan Pelajaran/Pengajaran Tahunan adalah perkara wajib yang perlu ada pada setiap orang guru semasa mengajar. Guru perlu menyediakan RPT bagi setiap mata pelajaran yang diajar mengikut aliran atau tahun. RPT perlu disesuaikan dengan takwim dan aktiviti sekolah masing-masing.


Penyediaan RPT adalah kewajipan bagi setiap guru aliran perdana.


Bagaimana pula dengan Guru Pemulihan/Guru Pemulihan Khas/Guru Pemulihan LINUS? Adakah mereka juga wajib menyediakan RPT?


Semasa pemantauan oleh PPD beberapa minggu yang lalu, saya dimaklumkan tentang perkara ini oleh pegawai FasiLINUS.


Menurut pegawai FasiLINUS tersebut, program pemulihan khas atau program LINUS tidak memerlukan RPT. Sebaliknya Guru Pemulihan perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Individu untuk 3 bulan atau pun Rancangan Pengajaran 3 bulan. Semasa di maktab dahulu, pensyarah ada menyentuh tentang RPI tetapi beliau tidak memaksa guru pemulihan khas menyediakannya. RPI ini dipraktikkan oleh guru pendidikan khas.


Menurut pegawai FasiLINUS itu lagi, bagi program LINUS pula, PdP murid perlu diselaraskan dengan kemahiran yang ada dalam sukatan KSSR. Contohnya, Guru LINUS Literasi tahun 2 hanya ada satu RPT iaitu RPT BM tahun 2 sahaja. Semasa menjalankan PdP, guru perlu sesuaikan kemahiran BM tahun 2 (murid perdana) dengan konstruk LINUS (murid LINUS). Yang membezakan murid perdana dan LINUS adalah pada objektif PdP dan aktiviti PdP yang dijalankan guru serta penilaian guru (lembaran kerja).


Rasionalnya tidak perlu RPT ialah kerana setiap murid Pemulihan/LINUS adalah berbeza keupayaan, tahap dan aras kemahiran mereka. Murid akan diajar berdasarkan konstruk yang mereka belum dikuasai oleh murid. Jika beberapa orang murid mempunyai aras kemahiran yang sama atau hampir sama, maka mereka boleh diletakkan dalam satu kumpulan.


Berdasarkan pengalaman saya, saya jarang menemui satu kelas atau sekumpulan murid yang mempunyai aras kemahiran yang sama. Biasanya saya akan membahagikan mereka sekurang-kurangnya kepada 2 kumpulan yang akan diajar kemahiran/konstruk yang berbeza.


Mungkin istilah yang sesuai bagi RPT bagi program pemulihan khas ialah RP (Rancangan Pengajaran) yang ditiadakan T (Tahunan)... 








Terima Kasih